Dialogue dan Monologue

Setiap orang mempunyai cerita, kisah, pengalaman dan pandangan untuk
dikongsi. Blog ini adalah dialog dan monolog kami suami-isteri mengenai
kehidupan, keluarga, isu semasa, kerjaya dan apa saja yang signifikan dalam
hidup kami berdua.

Friday 1 July 2011

Wanita, Harta Pusaka dan Baitul Mal (Adnan)

Pagi ini, aku dan Lia singgah bersarapan di Taman Tun Sardon (TTS). Sebelum itu, kami sempat berjogging di Tasik Harapan, USM, selepas menghantar anak-anak ke sekolah untuk program Satu Murid Satu Sukan. Kebetulan duduk minum semeja ialah seorang duda kematian isteri lebih kurang 6 bulan. Beliau memperkenalkan diri sebagai Pak Cik Man, berumur 71 tahun, pesara Perbadanan Perlabuhan Pulau Pinang. Arwah isteri Pak Cik Man meninggal kerana serangan jantung, pada umur 65. Mereka mempunyai tiga anak perempuan, semuanya sudah berumah tangga. Apabila mencerita mengenai arwah isteri, aku dapat melihat kilauan jernih titisan berkaca dipenjuru mata Pak Cik Man. "Pak Cik masih ingat, semasa kami mengerjakan haji di Mekah, Pak Cik demam. Masa tu arwah Mak Cik menjaga dan yang menyapu air di kepala dan muka setiap masa" Sambil itu tangan beliau mengajukkan bagaimana arwah isteri beliau menyapu air muka dan kepala beliau. Aku dan Lia berseloroh "carilah ganti untuk menjadi teman". Susah nak lupa" jawap beliau ringkas, sambil merenung air teh yang tidak sempat dihirup kerana asyik bercerita.

Sebenarnya bukan nostalgia seorang suami yang kehilangan isteri yang ingin aku kongsikan di sini. Walaupun naratif Pak Cik Man mengenai hubungan beliau suami isteri sungguh terkesan kepada kami berdua. Ada perkara yang lebih mendesak untuk dibicarakan. Soal waris harta pesaka.

Pak Cik Man dan isteri bukan orang berada yang meninggalkan harta pesaka bertimbun-timbun. Arwah isteri Pak Cik Man semasa meninggal mempunyai RM10 ribu simpanan di dalam ASB, hasil sumbangan Pak Cik Man dan anak-anak. Masalahnya, simpanan ASB arwah isteri tiada penama. Justeru itu, simpanan tersebut perlu dibahagikan kepada waris-waris yang berhak. Menurut Pak Cik Man, oleh kerana mereka tidak mempunyai anak LELAKI, maka mengikut Baitul Mal yang mengurus mengenai harta pesaka, sebahagian simpanan tersebut mestilah diberikan kepada adik-beradik lelaki arwah isteri dan sebahagiannya di`ambil' oleh Baitul Mal.

Aku masih teringat anak saudara ku yang kematian ibu mereka (biras ku). Mereka dua beradik, kedua-keduanya perempuan, terpaksa membayar sejumlah wang (kurang pasti jumlahnya) untuk `menebus' harta pesaka peninggalan arwah ibu mereka dari Baitul Mal. Oleh kerana mereka berdua mampu dan ingin menyelesaikan soal pembahagian harta peninggalan arwah biras ku dengan segera, mereka berdua setuju tebus bahagian Baitul Mal.

Aku perlu akui memang aku jahil mengenai peranan Baitul Mal dan hukum hakam mengenai pembahagian harta pesaka. Namun, dalam kes Pak Cik Man, simpanan ASB arwah isteri beliau terpaksa dibahagikan juga kepada adik-beradik lelaki yang tidak ada kena mengena dengar harta sepencarian Pak Cik Man dan arwah isteri beliau. Kenapa tidak dibahagikan kepada Pak Cik Man dan anak-anak perempuan mereka sahaja. Dan kenapa perlu Bailtul `ambil' sebahagian daripada harta tersebut?

Ada semacam suatu yang `tidak kena' di sini (aku harap jangan ada orang yang cepat-cepat menjatuhkan hukum berdosa kerana aku mempersoalkan `hukum' yang ditetapkan oleh Baitul Mal. Aku masih tidak faham kenapa harta seorang wanita yang meninggal, sekiranya tidak diwasiatkan, sebahagiannya `diambil' oleh Baitul Wal.

Kembali kepada kisah Pak Cik Man, selepas 6 bulan kematian isteri, simpanan ASB RM10 ribu belum dapat diselesaikan selepas penat turun naik pejabat Majlis Agama Islam PP, Pejabat Amanah Raya Pejabat Baitul Mal. Beliau terpaksa mencari adik beradik arwah isteri menyelesaikannya, disamping sebahagian daripada RM10 ribu akan dijadikan harta Baitul Mal.

Is this a form an institutional robbery? Is this what Islam stipulates? Some thing is not right.

Sebelum aku meninggalkan gerai sarapan pagi kami bersalaman seperti pernah kenal bertahun-tahun. "Terima kasih banyak, semoga Allah murahkan rezeki" doa Pak Cik Man sambil menadah tangan, selepas dia sedar aku telah membayar sarapan beliau - dua keping capati dan secawan teh. Mahu aku dan Lia terus bersembang dengan Pak Cik Man pasal Baitul Mal dan arwah isteri beliau, tapi telefon Lia dah berdering, Amir dah habis bersukan.

No comments:

Post a Comment